Statistik telah menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang meninggalkan sarapan pagi mereka. Pakar nutrien berpendapat bahawa sarapan pagi ialah makanan yang paling vital bagi semua individu pada setiap hari lebih-lebih lagi bagi para pelajar. Pelbagai alasan diberikan oleh murid-murid jika mereka tidak mengambil sarapan pagi seperti bangun lewat, tiada selera makan dan sebagainya. Hal ini perlu dielakkan oleh murid-murid kerana terdapat pelbagai kepentingan sarapan pagi kepada mereka. Persoalannya, apakah kepentingan sarapan pagi kepada murid-murid?
Sarapan pagi amat penting kepada para murid bagi membekalkan nutrien dan tenaga sepanjang hari. Aktiviti murid pada sesi oersekolahan amat padat maka murid-murid perlu mengambil sarapan pagi yang seimbang. Setiap sarapan pagi itu perlulah mempunyai sumber karbohidrat, protein, vitamin dan lemak dalam kuantiti yang secukupnya. Sebagai contoh, makanan ideal bagi sarapan pagi ialah bijirin, susu serta buah-buahan. Jika murid tidak mengambil sarapan pagi, maka mereka tiada tenaga untuk menghadapi jadual sekolah yang padat lebih-lebih lagi bagi murid yang mempunyai kelas Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) pada waktu pagi. Hal ini mungkin mengakibatkan murid pengsan semasa bermain kerana tenaga yang tidak mencukupi. Oleh itu, sarapan pagi adalah salah satu cara untuk menjaga kesihatan diri.
Selain itu, sarapan pagi menjadikan murid cergas dan cerdas di dalam kelas. Hal ini dikatakan demikian kerana sarapan pagi menjadikan murid bersemangat untuk belajar perkara yang baharu di samping menceriakan suasana kelas. Murid juga pasti tidak akan tidur di dalam kelas akibat keletihan kerana mereka mempunyai tenaga yang mencukupi untuk menimba ilmu pengetahuan. Namun, jika murid tidak mengambil sarapan pagi, pelajar akan berasa lesu di dalam kelas serta tidak fokus apabila cikgu sedang mengajar bak kata pepatah masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Hal ini amatlah tidak produktif bagi seorang murid kerana mereka perlulah berusaha bersungguh-sungguh menuntut ilmu agar mencapai kehayaan persis kata mutiara genggam bara api biar sampai jadi arang. Guru juga pasti akan memarahi pelajar tesebut jika tidak menumpukan perhatian semasa kelasnya berlangsung. Oleh itu, sarapan pagi amat penting agar murid kekal aktif di dalam kelas.
Akhir sekali, sarapan pagi dapat mengalas perut murid pada pagi hari. Hal ini demikian kerana apabila murid bangun daripada tidur, sudah pasti perut berasa kosong dan hal ini patut dielakkan. Perut kosong boleh mengakibatkan gastrik yang disebabkan oleh asid di dalam perut yang menghakis dinding perut. Gastrik ini akan menyebabkan murid tersebut sakit kepala, muntah-muntah dan juga mungkin pengsan. Gastrik dapat dielakkan jika kita mengambil sarapan pagi agar perut berasa selesa maka murid dapat belajar dengan penuh perhatian di dalam kelas. Tiada penyakit yang tiada penawarnya justeru sarapan pagi juga boleh mengelakkan penyakit serius berlaku.
Konklusinya, sarapan pagi amatlah vital bagi murid-murid setiap kali ingin pergi ke sekolah. Ibu bapa dan guru-guru perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam memastikan semua murid bersarapan pagi agar tidak mendatangkan kesusahan kelak. Sarapan pagi yang berterusan menjamin kesihatan yang baik serta membantu fokus murid dalam pelajaran bak kata pepatah badan cergas otak cerdas. Maka, murid-murid dapat mencapai cita-cita masing-masing sekiranya mereka mampu menjalani sesi pembelajaran dengan baik di samping bantuan guru yang berdedikasi. Oleh itu, janganlah kita memandang remeh kepentingan sarapan pagi demi kebaikan bersama.